Seri Paduka Baginda dan rombongan tiba di benua selatan itu dengan pesawat khas C-17 Globe Master Tentera Udara Amerika yang mendarat di Lapangan Ais Pegasus, sebuah lapangan terbang yang dibina di atas lautan ais yang beku, pada 1 tengah hari waktu tempatan.
Pesawat berkenaan juga membawa sekumpulan 70 petugas lain terdiri daripada penyelidik dan saintis antarabangsa yang akan melakukan penyelidikan di sekitar kawasan benua itu.
Tuanku Mizan yang disambut Penyelia Perkhidmatan Antartika, David Washer, kemudiannya dibawa ke Pusat Penyelidikan Scott dalam perjalanan yang mengambil masa 20 minit sambil menikmati pemandangan di sekitar kawasan itu.
Seri Paduka Baginda kemudian diberikan taklimat oleh Sanson di Kem Scott sebelum dibawa melawat Castle Rock dan Kem Lapangan Latihan Antartika dengan menaiki kenderaan khas dipanggil Hagglund, iaitu kenderaan litar permukaan ais.
Pada hari kedua di Antartika, Seri Paduka Baginda, dijadual menaiki helikopter bagi lawatan saintifik melalui udara ke kawasan McMurdo Sound termasuk singgah melawat pondok yang digunakan oleh Kapten Scott pada tahun 1910-1912 di Cape Evans dan pondok Sir Ernest Shackleton pada tahun 1907-1909 di Cape Royds.
Kedua-dua pondok tersebut kini menjadi destinasi bersejarah dan ikon bagi para saintis dan penyelidik di Antartika. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment