Harimau Muda melakar kejutan besar dalam saingan peringkat kumpulan Sukan Sea Indonesia 2011 apabila membenam cabaran tuan rumah 1-0 di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.
Jaringan cantik Shahrul Azwari pada minit ke-18 menjadi titik noktah memisahkan kedua-dua pasukan untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan tersebut.
Babak awal perlawanan bagaimanapun lebih dikuasai Indonesia dimana mereka dapat melancarkan serangan bertali arus kearah kubu Malaysia tetapi kebanyakan cubaan mereka mudah dipatahkan oleh pemain pertahanan pasukan negara.
Sehinggalah memasuki minit ke-18, Shahrul Azwari menerima hantaran cantik dari Mahali dari sebelah kanan membolehkan pemain sayap Malaysia tersebut melakukan satu larian pantas sebelum meledak dengan penyudah kemas untuk menewaskan penjaga gol Indonesia.
Jaringan tersebut nyata merentap semangat pemain Indonesia menyebabkan keadaan mereka mula menjadi kucar kacir. Malaysia pantas mengambil kesempatan dengan melakukan banyak serangan demi serangan namun ketumpulan penyudah menjadi penyebab untuk skuad negara menambah jaringan.
Bersambung babak, Indonesia memperkemaskan sedikit rentak permainan mereka untuk memberi tekanan kepada benteng Malaysia. Beberapa percubaan mereka bagaimanapun berjaya dipatahkan dengan beberapa aksi kemas Asrarudin Putra dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Malaysia turut berpeluang menambah jaringan namun ketumpulan penyudah pemain serangan membantutkan usaha Harimau Muda mencatatkan lebih banyak jaringan.
Skuad negara semakin tertekan menahan asakan tuan rumah selepas ketua jurulatih, Ong Kim Swee diarah meninggalkan bangku pegawai kerana membantah beberapa keputusan pengadil.
Tuan rumah yang turut tertekan untuk mencari jaringan penyamaan mula bermain secara kasar pada pertengahan babak menyebabkan pengadil perlawanan dari UAE, Fard Al Kahsar terpaksa melayangkan beberapa kad kuning.
Mereka hampir mendapat gol penyamaan melalui Okto pada minit ke-78 tetapi tandukan pemain Indonesia ini gagal menembusi gawang Malaysia.
Ketika perlawanan hampir ditamatkan, Malaysia menerima dua peluang terbuka didepan gawang melalui Izzat Faris pada minit ke-83 dan 89 namun penyerang tinggi lampai ini lambat melakukan penyudah walaupun tidak dicabar pertahanan Indonesia.
Lima minit masa tambahan diberikan tetapi kedua-dua pasukan buntu menambah jaringan sebelum pengadil membunyikan wisel penamat memberikan kemenangan maruah kepada Malaysia didepan 80 000 penyokong setia Garuda.
Selaku juara kumpulan A, Malaysia akan bertemu naib juara kumpulan B, Myammar pada 19 November 2011 untuk saingan separuh akhir. -RedsfcNews-
No comments:
Post a Comment