Pages

Wednesday, November 16, 2011

TERJUN DAN SNUKER SUMBANG EMAS PADA HARI KE-6


Beregu Malaysia Chong Tin Sam dan Thor Chuan Leong memenangi pingat emas dalam acara beregu snuker lelaki yang berlangsung di Pusat Konvensyen Opi di Jakabaring di sini hari ini.
Tin Sam yang berpengalaman lebih 18 tahun dan semangat juang tinggi Chuan Leong merupakan gabungan mantap bagi kejayaan itu apabila mereka dengan mudah menumpaskan beregu Singapura Lim Chun Kiat dan Ang Boon Chin 3-0.
Tin Sam, 23, yang meraih pingat emas pertamanya dalam Sukan SEA, berkata, beliau berasa amat gembira apabila Chuan Leong bersetuju bergandingan dengannya pada temasya sukan tahun ini.
“Pengalaman dan prestasi Chuan Leong banyak membantu saya melakukan lebih baik kali ini. Prestasi saya bagus sepanjang permainan dan apabila kami mendapat peluang (semasa permainan) saya tahu perlu manfaatkannya,” kata Tin Sam kepada wartawan Malaysia selepas pertandingan itu.
Bagi Tin Sam, kejayaan itu adalah penebus kepada kekalahannya dan gandingannya Lee Chee Wei kepada beregu Singapura pada perlawanan akhir di Laos dua tahun lepas. – Bernama
Acara terjun menjadi lubuk emas negara pada Sukan SEA ke-26 di Palembang apabila Yeoh Ken Nee meraih emas kelima Malaysia menerusi acara 3m papan anjal lelaki di Pusat Akuatik Jakabaring di sini, hari ini.
Ken Nee, 28, menewaskan peserta lain dengan catatan mata keseluruhan 58.15 selepas enam aksi terjunan, sekali gus membawa pulang emas ke-15 Sukan SEA buat dirinya.
"Pada mulanya, saya menjangkakan saingan sengit daripada atlet Filipina dan atlet Indonesia tapi mungkin nasib saya lebih baik kerana saya mencuba ”difficulty” yang tinggi,” katanya kepada media Malaysia di sini.
Pingat perak dimenangi atlet tuan rumah Akhmad Sukran Jamjami yang mengumpul 401.86 mata, manakala atlet Malaysia Ahmad Amsyar Azhar meraih gangsa dengan 397.30 mata. – Bernama
Penerjun kebangsaan, Pandelela Rinong Pamg, seperti telah dijangka meraih pingat emas terakhir yang ditawarkan pada acara terjun di temasya Sukan SEA ke-26 di sini, hari ini.
Penerjun berusia 18 tahun itu berjaya memukau ribuan penonton yang berpusu-pusu menyaksikan acara terjun di Pusat Akuatik Jakabaring.
Dalam suasana penuh ejekan penonton tempatan, Pandelela berjaya meraih pingat emas dengan mengumpul 342.90 mata.
"Hari ini saya hanya lakukan terjunan seperti biasa sahaja sebab di sini kurang saingan. Saya hanya guna DD (darjah kesukaran) yang biasa saya gunakan dan tidak guna DD yang lebih tinggi.
"Bagaimanapun, saya tidak begitu puas hati dengan terjunan ketiga dan keempat. Saya ada masalah sedikit semasa hendak terjun,” katanya.
Selain Pandelela, Malaysia turut meraih pingat perak melalui Kam Ling Kar yang pertama kali membuat penampilan di Sukan SEA. – Bernama

No comments:

Post a Comment