LONDON - Jaringan gol Emmanuel Adebayor membantu Tottenham Hotspur (Spurs) melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana England selepas menyaksikan kelab itu menewaskan Aston Villa 2-0 kelmarin.
Kemunculan pertama pengurus pasukan, Harry Redknapp selepas melakukan pembedahan kecil pada jantung bagaimanapun memberi semangat kepada kehebatan gandingan Gareth Bale dan Adebayor seperti dahagakan gol di White Hart Lane.
Adebayor yang ketika itu tidak dijaga pihak lawan berjaya melakukan aksi akrobatik bagi menjaring gol pada minit ke-14 hasil hantaran Bale.
Ia merupakan gol pertama dalam masa dua bulan buat Adebayor yang merupakan pemain pinjaman dari Manchester City.
Gol kelima Adebayor pada musim ini diperoleh pada minit ke-40 hasil hantaran Bale juga melepasi pemain pertahanan Villa, James Collins dan penjaga golnya, Shay Given.
Sejak dibelasah Manchester City dengan keputusan 5-1 pada Ogos lalu, Tottenham boleh mendabik dada kerana masih belum ditumbangkan setakat ini.
Sepanjang 14 perlawanan lalu, hanya sekali kelab tersebut tewas iaitu 0-1 ketika perlawanan Liga Eropah menentang kelab Rusia, Rubin Kazan.
Spurs juga terkeluar daripada aksi Piala Liga selepas tewas kepada Stoke menerusi tendangan penalti baru-baru ini.
Tottenham berjaya mengatasi Chelsea dan Newcastle dalam kedudukan liga, dengan ketinggalan sembilan mata di belakang peneraju liga, City dan empat mata di belakang Manchester United.
"Saya menikmati perlawanan malam ini (kelmarin). Saya juga merasakan peminat turut menikmatinya. Mereka telah melihat banyak pasukan yang hebat sepanjang tahun dan menikmati corak permainan yang dipersembahkan," kata Redknapp.
"Ia sangat bagus dapat kembali pada malam ini. Saya tidak mahu menyaksikan perlawanan di rumah lagi. Ia amat menjengkelkan."
Villa yang mempertaruhkan pemain pertahanan kanannya, Carlos Cuellar bagaimanapun tidak mampu menghalang gandingan mantap Bale dan Adebayor.
Cubaan berbahaya Adebayor untuk melakukan hatrik pada minit ke-77 berjaya disekat oleh Given. - Agensi
KOSMO
No comments:
Post a Comment