Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengakui beliau tidak berminat untuk memimpin Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), namun akan tetap memberi sokongan terhadap sukan itu.
Beliau juga sentiasa mengikuti perkembangan sukan itu dan menyedari masalah kewangan yang sedang melanda PFA.
Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kerajaan negeri berjumlah RM558,000 kepada PFA hari ini, Dr Md Isa berharap persatuan itu dapat menyelesaikan masalah kewangan yang sedang dihadapi.
PFA dilaporkan berdepan masalah kewangan sehingga tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso untuk tempoh tertentu, selain gaji pemainnya tertunggak.
Ditanya sama ada beliau pernah ditawar menerajui PFA, Dr Md Isa berkata setakat ini, tidak ada jemputan sedemikian daripada persatuan itu.
"Saya tak ada pengalaman bersukan dan tidak berminat untuk menerajui PFA," katanya.
Ketika ini, PFA diterajui bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Bantuan kewangan kepada PFA itu diserahkan kepada pengurus pasukan bola sepak Perlis Azhar Ahmad.
Ogos lepas, kerajaan negeri menghulurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada PFA bagi menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi pemain menjelang sambutan Aidil Fitri.
SUMBER: BERNAMA DAN ASTRO ARENA
No comments:
Post a Comment