Pages

Wednesday, November 23, 2011

FAKTOR KELETIHAN DAN TONGGAK SERANGAN CEDERA MENYEBABKAN KEKALAHAN MALAYSIA KEPADA SYRIA


Faktor keletihan mampu menjadi alasan kukuh buat Harimau Muda yang tumbang 2-0 kepada Syria dalam perlawanan kedua Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 zon Asia di sini.
Pasukan Malaysia yang masih 'segar' dengan pingat emas yang dimenangi dua hari lalu, bagaimanapun berjaya mengikat Syria 0-0 dalam tempoh 45 minit babak pertama.
Meskipun tampak keletihan ekoran sembilan daripada pemain yang beraksi dalam perlawanan akhir ketika menentang Indonesia di Sukan SEA diturunkan pada malam ini, barisan anak didik Ong Kim Swee tetap berjaya memberi tentangan sengit kepada pasukan pelawat.
Walaupun diasak sejak awal minit pertama, Harimau Muda tetap tenang menyerap setiap asakan lawan yang cuba bermain dengan corak pantas.
Pada minit ke-27, Ahmad Fakri Saarani menjadi pemain negara pertama dilayangkan kad kuning kerana mengasari Mohammed Fares yang turun menrima nasib serupa sebelum itu akibat mengangkat tinggi kakinya ke arah muka Wan Zack Haikal Wan Noor.
Kehadiran semula Wan Zack selepas pulih daripada kecederaan di sebelah sayap kanan juga banyak membantu serangan.
Cubaan terbaik Harimau Muda hadir menerus Fakri yang melepaskan rembatan deras yang menuju tepat ke arah penjaga gol, Ibrahim Alma.
Malaysia sempat melancarkan bertali-arus ke arah kubu lawan, namun pertahanan lawan cepat menutup ruang.
Thamil Arasu dan Wan Zack sempat menukar peranan mereka daripada pemain sayap ke bahagian serangan.
Wan Zack terus menjadi duri dalam daging buat pertahanan Syria dan Solaiman Solaiman memilih tindakan kurang bijak dengan menjatuhkannya selepas terperangkap dengan helah pemain negara.
Wan Zack hanya dapat menggelengkan kepalanya selepas tandukannya tersasar hasil daripada sepakan percuma Fandi Othman sebelum tamat babak pertama.
Baru empat minit bersambung, K. Gurusamy dilayangkan kad kuning ketika pemain negara bekerja kers untuk mematahkan serangan lawan. Kem Malaysia kemudian tersentak apabila  tandukan Solaiman Solaiman memecah kebuntuan permainan pada minit ke-53.
Kim Swee kemudian cuba menghidupkan bahagian tengah dengan memasukkan D. Saarvindran bagi menggantikan K. Gurusamy.
Para pemain Syria bijak menggunakan simpati pengadil dengan melengah lengahkan permainan berikutan aksi para pemainnya yang sering terbaring kesakitan di atas padang. Tidak sampai beberapa saat diusung keluar, mereka sudah cergas untuk meneruskan perlawanan.
Kim Swee sempat ditegur kerana beliau cuba mempertikaikan situasi itu. Barisan depan Malaysia bergelut untuk memburu gol penyamaan ekoran jentera tengah yang kerap melakukan hantaran jauh.
Wan Zack Haikal sempat membuatkan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil bersorak, tapi serangan seperti itu lebih mudah dipatahkan dengan kelebihan susuk fizikal mereka.
Pada minit ke-88, kelekaan Muslim Ahmad dihukum apabila pemain gantian, Nassouh Nakkdahli mudah menolak masuk gol kedua untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Para pemain Harimau Muda termasuk pemain Syria kemudian datang ke arah penyokong sebagai tanda terima kasih kerana menghidupkan perlawanan sebelum para pemain negara mengelilingi stadium.
Malaysia kini berada di tangga ketiga Kumpulan C, satu anak tangga di atas Bahrain selepas tewas dua perlawanan awal kerana perbezaan gol.
ASTRO ARENA

No comments:

Post a Comment