Pages

Monday, November 14, 2011

EMAS KE-13 MALAYSIA DITUAI KUARTET 4X400M LELAKI


Kuartet 4x400m lelaki negara mencipta kejutan apabila menghadiahkan pingat emas dalam acara olahraga Sukan SEA Ke-26 di Stadium Olahraga Palembang di sini malam ini.
Kuartet negara yang dibarisi S.Kannathasan, P.Vuvaraj, Schzuan Ahmad Rosely dan Mohd Yunus La Salleh meninggalkan pencabar jauh dengan catatan masa 3:10.49s. Pingat perak dimenangi oleh kuartet Filipina dengan masa 3:11.16s manakala Thailand membawa pulang gangsa dengan catatan masa 3:14.90s.
Malaysia berjaya memperbaiki pencapaian pingat perak dalam acara itu pada edisi lepas di Laos pada 2009 serta mengulangi pencapaian pingat emas pada 2007 di Korat, Thailand.
Kejayaan kuartet itu merupakan sumbangan emas keempat dari skuad olahraga negara pada temasya dwitahunan itu di sini. Skuad negara bermula baik dengan Kannathasan dan Vuvaraj yang bersaing rapat dengan pelari Indonesia, Thailand, Myanmar, Filipina dan Singapura.
Kebangkitan wira-wira negara itu bermula dengan pelari ketiga Schzuan Ahmad yang berjaya menjarakkan diri lebih kurang 30m daripada pelari lain dan sebaik saja baton menyentuh tangan Mohd Yunus, beliau terus memecut untuk meninggalkan pihak lawan jauh di belakang.
"Macam mimpi.. yang saya tahu saya lari sekuat hati tadi," kata Mohd Yunus selepas perlumbaan itu.
Vuvaraj berkata penyertaan mereka dalam acara itu dilakukan pada saat-saat akhir setelah tiada penyertaan daripada atlet wanita.
"Kami memang sangat gembira. Kami hanya nak buat yang terbaik dan tak sangka kami menang malam ini," katanya.
Sebelum ini, Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) memutuskan untuk menyenaraikan kuartet 4x400m itu di saat akhir selepas majoriti atlet sukan itu sudah tiba di sini.

SUMBER BERNAMA DAN ASTRO ARENA

No comments:

Post a Comment