PUNGUTAN PINGAT MALAYSIA SETAKAT 14.11.11:
12 EMAS
14 PERAK
22 GANGSA
-Pasangan penerjun Bryan Nickson Lomas dan Yeoh Ken Nee mengungguli acara 3m papan anjal seirama untuk menyumbang pingat emas ke-10 untuk Malaysia pada Sukan SEA ke-26 di sini hari ini.
Penerjun berpengalaman itu menghasilkan emas kedua menerusi sukan terjun di Pusat Akuatik Jakabaring di sini selepas pingat emas dalam acara yang sama diperolehi menerusi gandingan penerjun wanita Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee semalam.
Bryan-Yeoh berjaya melakukan terjunan dengan tahap kesukaran yang lebih tinggi dalam enam terjunan untuk mengumpul 392.31 mata bagi mengenepikan cabaran penerjun Filipina dan tuan rumah Indonesia.
Pasangan Filipina Nino Crog dan Jaime Asok mengumpul 342.99 mata untuk membawa pulang pingat perak manakala gangsa menjadi milik Andriyan Andriyan dan Ahmad S. Jamjami dari Indonesia dengan 332.40 mata.
"Walaupun saingan tidak sengit seperti kejohanan antarabangsa yang lain, kami tetap buat yang terbaik dan kami puas hati dengan prestasi hari ini," kata Bryan kepada wartawan Malaysia selepas majlis penyampaian pingat.
Yeoh pula berkata temasya Sukan SEA ini lebih merupakan latihan bagi mereka membuat persiapan menghadapi Kejohanan Terjun Piala Dunia 2012 di London, Februari depan.
Kedua-dua penerjun veteran itu telahpun mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik London 2012.
-Perenang wanita negara, Khoo Cai Lin berjaya menempah tiket ke temasya Sukan Olimpik London 2012 dalam acara 400m gaya bebas selepas melepasi masa kelayakan di Sukan SEA ke-26 di sini malam ini.
Di Pusat Akuatik Jakabaring di sini, Cai Lin menggondol pingat perak dengan catatan masa empat minit 16.54 saat, sekali gus mengatasi masa kelayakan Sukan Olimpik kategori B iaitu 4:18.75s.
Ini merupakan aksi kali kedua bagi perenang berusia 23 tahun itu pada temasya Sukan Olimpik selepas mengambil dalam acara 400m dan 800m gaya bebas pada Sukan Olimpik Beijing pada 2008.
"Saya bangga dengan keputusan ini dan inilah yang saya inginkan," katanya.
Sebelum ini, Cai Lin sudah layak ke Sukan Olimpik London dalam acara 800m gaya bebas di bawah kategori B apabila mencatatkan masa 8:49.28s pada Kejohanan Terbuka Malaysia ke-54 pada Mei lalu.
Catatan masa itu telah mengatasi masa kelayakan kategori B iaitu 8:51.82s. Mengenai pencapaian pingat perak di sini, Cai Lin berkata beliau bangga kerana rekod Sukan SEA yang dipegangnya iaitu 4:10.75s yang dicipta pada edisi lepas di Laos pada 2009 masih kekal.
Selain Cai Lin, skuad renang wanita negara turut menyumbang sebutir lagi pingat perak menerusi Chan Kah Yan dalam acara 50m kuak lentang.
Beliau mencatatkan masa 29.55s, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan yang diciptanya iaitu 29.70s. Pingat emas acara itu dimenangi oleh perenang Singapura Shana Lim dengan masa 29.37s manakala perenang Filipina, Dorothy Grace Hong, membawa pulang pingat gangsa dengan catatan masa 29.96s.
Dalam pada itu, skuad lelaki 4x400m gaya bebas - Foo Jian Beng, Kevin Yeap, Vernon Lee dan Lim Ching Hwang - dibatalkan penyertaan selepas memulakan pertandingan lebih awal daripada isyarat lepas.
-Atlet terjun Malaysia terus menunjukkan penguasaan mereka di Pusat Akuatik Jakabaring di sini selepas memenangi pingat emas ketiga hari ini.
Dalam acara 10m platform berirama wanita, Leong Mun Yee dan Traisy Vivien Tukiet mempamerkan persembahan memberangsangkan untuk mengumpul 306.66 mata selepas lima terjunan.
Pasangan Indonesia, Sari Ambarwati dan Dinasari Harimurti memenangi pingat perak dengan 268.62 mata manakala gangsa pula diraih gandingan Myanmar, Sandar Nyut Soe dan Mar Hnin Hay dengan 155.73 mata.
"Sungguhpun tiada cabaran sengit buat kami di sini namun kami memberi persembahan 100 peratus. Kami tidak memandang rendah kepada pesaing lain tetapi kami masih memperbaiki skil kami," kata Mun Yee.
Mun Yee berkata beliau dan Traisy Vivien melakukan tahap kesukaran yang lebih tinggi dalam acara hari ini. Pingat emas itu adalah emas kedua Mun Yee selepas memenangi 3m papan anjal seirama semalam, berpasangan dengan Ng Yan Yee.
Traisy Vivien pula menyifatkan pingat emas itu sebagai satu pencapaian buat dirinya lebih-lebih lagi ini merupakan kemunculan kedua beliau dalam Sukan SEA.
"Dalam Sukan SEA sebelum ini di Laos, saya hanya menang pingat gangsa dalam acara 10m platform individu. Saya ingin mendedikasikan pingat emas ini kepada ibu bapa saya yang banyak memberi sokongan kepada saya selama ini.
"Ibu bapa saya tidak membenarkan saya berhenti daripada acara ini dan mahu saya berjaya seperti Bryan (Nickson Lomas)," kata Traisy. Beliau akan menumpukan perhatian kepada acara individu yang dijadual pada Rabu.
-Setelah tujuh bulan 'berehat' akibat kecederaan, atlet lompat tinggi negara lelaki Lee Hup Wei bangkit dengan merangkul emas bagi acara tersebut pada Sukan Sea ke-26 di Stadium Olahraga di sini hari ini.
Lee, 24, melakukan lompatan 2.15 meter mengatasi pencabar terdekat Torlarp Sudjunta dari Thailand, yang meraih perak dengan catatan 2.10 meter manakala gangsa milik atlet Vietnam Dao Van Thuy (2.08 meter).
Pemegang rekod kejohanan itu bagaimanapun kurang berpuas hati kerana gagal mencapai sasaran 2.20 meter. Katanya, beliau perlu mencapai ketinggian itu untuk kembali ke prestasi sebelum ini dan seterusnya mencuba untuk kelayakan Olimpik tahun depan.
"Mungkin saya menang hari ini kerana saingan yang tak berapa kuat. Masih banyak yang perlu saya baiki untuk pergi lebih jauh lagi," katanya yang hanya mula berlatih tiga bulan lepas, iaitu setelah pulih dari kecederaan buku lali.
Lee memegang rekod kebangsaan 2.27 meter yang dilakukan di Olimpik Beijing 2008. Katanya, beliau masih perlu berlatih tujuh hingga lapan bulan lagi sebelum
dapat kembali pada rentak lompatan sebelum ini.
dapat kembali pada rentak lompatan sebelum ini.
Anak kelahiran Dengkil itu berkata sebelum ini, beliau terpaksa menempuh saat sukar untuk kembali ke tahap kecergasan ideal selain melakukan rawatan fisioterapi.
"Saya amat berterima kasih kepada keluarga dan jurulatih yang banyak memberi sokongan dan kata-kata positif untuk saya bangkit semula," katanya yang dibimbing jurulatih dari Cuba, Joe Lewis Alfaro Quinones.
Sementara itu, dalam acara baling tukul besi lelaki, Wong Siew Cheer membawa pulang gangsa hasil balingan sejauh 57.04 meter. Emas milik peserta Thailand Tantipo Phetchaiya (61.46 meter) manakala perak dimenangi Arniel Ferrera dari Filipina (60.19 meter).
sumber beranama dan astro arena.
No comments:
Post a Comment