Pages

Monday, November 21, 2011

NEGERI KELANTAN DAN NEGERI TERENGGANU MULA DILANDA BANJIR

Dua negeri di Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan mula dilanda banjir di beberapa daerah, walaupun di Kelantan ia hanya banjir kilat. 

Di Terengganu, tiga daerah dilanda banjir berikutan hujan lebat di negeri itu sejak semalam hingga hari ini dengan 47 orang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir setakat petang ini.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara negeri Terengganu berkata, di Setiu seramai 30 orang di Kampung Merbau Menyusut dipindah ke pusat pemindahan di Masjid kampung itu.
"Di Hulu Terengganu, seramai 13 orang daripada tiga keluarga dipindahkan ke Balai Raya Kampung Kolam manakala di daerah Marang empat sekeluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Pengkalan Berangan," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula berkata, paras air Sungai Nerus di Kampung Langkap kini melebihi paras bahaya iaitu 22.14 meter (bahaya 21.5 meter), Sungai Telemong di Kampung Paya Rapat melebihi paras amaran iaitu 21.2 meter (amaran 21 meter). 

Katanya, bacaan paras air di Kampung Langkap turut melebihi paras bahaya iaitu 22 meter (bahaya 21.5 meter) dan di Kampung Bukit 12.10 meter (12 meter). 

Sehingga lewat petang ini keadaan cuaca di kebanyakan daerah ialah hujan renyai dan sesekali lebat. 
Di Kelantan, walaupun daerah Kota Baharu dan Pasir Puteh hanya dilanda banjir kilat, tetapi penduduk di kedua-dua kawasan ini sudah mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan barangan ke tempat yang lebih selamat bagi menghadapi sebarang kemungkinan. 

Selain dilanda banjir kilat, hujan lebat dan angin kencang turut menyebabkan beberapa rumah di kawasan perkampungan nelayan di Pantai Sabak dekat Kota Baharu rosak apabila bumbung diterbangkan angin. 

Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Kelantan, Roslee Mamat berkata keadaan masih terkawal berikutan paras air sungai-sungai di negeri ini masih belum melepasi paras berjaga-jaga. 

"Setakat ini banjir kilat di Kelantan kerana anak-anak sungai di beberapa kawasan telah melimpah selain masalah sistem perparitan," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment