Pages

Wednesday, November 30, 2011

PERMOHONAN BANTUAN TUNAI RM500 DIBUKA PADA 10 DISEMBER INI


Proses pendaftaran untuk permohonan insentif Bantuan Tunai RM500 akan dibuka selama sebulan mulai 10 Disember ini dengan urusan pembayaran dijangka dilakukan pada pertengahan bulan Januari 2012.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, borang pendaftaran boleh didapati secara percuma mulai tarikh tersebut di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau agensi-agensi kerajaan yang terpilih.
Menurut Ahmad Husni, bantuan itu dijangka dapat memberi manfaat kepada seramai 5.2 juta isi rumah atau 79.5 peratus daripada keseluruhan isi rumah negara ini.
"Pemberian ini melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM2.6 bilion," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

MAT YO TIDAK BERMINAT BERMAIN DI LIGA INDONESIA


Terbaik...Annuar (kanan) menyampaikan Anugerah Supermokh kepada Norshahrul
Idlan Talaha semalam.


PENYERANG Terbaik 2011, Norshahrul Idlan Talaha tidak berminat mengikut jejak langkah rakan baiknya, Mohd Safee Sali berhijrah ke Indonesia meskipun mengakui menerima banyak tawaran lumayan beraksi bersama kelab Liga Super negara jiran itu.

Dia yang turut menerima anugerah Supermokh selaku Pemain Paling Bernilai pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 semalam menyatakan tidak tertarik untuk beraksi di Indonesia, sebaliknya lebih berminat untuk mewakili kelab di Vietnam atau Thailand.

“Saya mendapat banyak tawaran daripada kelab Indonesia sejak Safee mula berpindah ke negara itu. Tapi bagi saya sendiri, saya sebenarnya lebih berminat untuk beraksi di Vietnam atau Thailand.

“Buat apa saya mahu pergi ke Indonesia sebab kita lebih baik berbanding mereka. Sukan Sea pun kita boleh mengalahkan mereka. Kalau hanya sebab sokongan penyokong kelab di sana bagus, penyokong di Kelantan juga bagus,” katanya yang ditemui pemberita semalam.

Norshahrul, 25, yang turut senang disapa dengan panggilan Mat Yo mengakui dirinya masih mahu memberikan komitmen bersama juara Liga Super, Kelantan selepas menandatangani kontrak baru selama dua tahun.

Dia yang meledak 19 gol musim lalu bagaimanapun terkejut dengan anugerah Supermokh yang diterimanya itu kerana menjangkakan rakan sepasukannya, Khairul Fahmi Che Mat turut berpeluang cerah.

“Saya sebenarnya terkejut kerana menerima anugerah Supermokh yang pertama kali diperkenalkan tahun ini kerana Apek (Khairul Fahmi) beraksi banyak perlawanan. Apapun saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu,” katanya yang turut meraih dua anugerah sama tahun lalu.

Mengulas mengenai sasarannya selepas ini, Norshahrul mahu memberi fokus untuk membantu Kelantan merebut trofi di peringkat domestik dan juga dalam kempen kejohanan Piala AFC.

Malah dia turut berazam membantu skuad kebangsaan mempertahankan Piala AFF apabila Malaysia menjadi tuan rumah tahun depan serta muncul pemain paling bernilai kejohanan dwitahunan itu.

“Saya berharap agar Malaysia dapat mengekalkan kejuaraan (Piala AFF) dan sasaran peribadi saya adalah untuk merampas anugerah pemain terbaik kejohanan itu yang diraih pemain Indonesia, Firman Utina,” katanya.

Ditulis oleh : Aziman Rosdi
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan

sumber: trwc suppertors blog

Tuesday, November 29, 2011

KEPUTUSAN ANUGERAH BOLA SEPAK KEBANGSAAN 2011




Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2011.

1.Kelab Terbaik: Selangor PKNS FC



2.FA Terbaik: Selangor FA



3.Pemain Harapan: Wan Zack Haikal (Vion FC)



4.Jurulatih Terbaik: Irfan Bakti Mohd Salim



5.Penyerang Terbaik: Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan FA)



6.Midfield Terbaik: Safiq Rahim (Selangor FC)



7.Defender Terbaik: NorHafiz Zamani Misbah (Negeri Sembilan FA)



8.Best Keeper: Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan FA)



9.Pemain Paling Bernilai Supermokh: Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan FA)

tahniah DIUCAPKAN KEPADA semua pemenang...:)

LIVERPOOL, MANCHESTER CITY DAN CARDIFF CITY CATAT KEMENANGAN




KEPUTUSAN PENUH PIALA LIGA INGGERIS
ARSENAL 0 MANCHESTER CITY 1
LIVERPOOL 2 CHELSEA 0
CARDIFF CITY 2 BLACKBURN ROVERS 0
 

 Liverpool menempah tempat di peringkat separuh akhir Piala Liga Inggeris apabila menewaskan Chelsea, 2-0 di Stamford Bridge, awal pagi tadi. 


Jaringan babak kedua menerusi Maxi Rodriguez dan Martin Kelly memastikan kemenangan bergaya anak buah Kenny Dalglish mengejutkan Chelsea di gelanggang sendiri.

Kemenangan itu juga menandakan Dalglish maju setapak lagi untuk membolot trofi kejuaraan sulungnya sejak mengambil alih tugas di Anfield.
Namun, kemelut pasukan Chelsea bimbingan Andre Villas-Boas semakin ketara sehingga ia boleh menggugat kedudukan pengurus Portugal itu di Stamford Bridge. 

Rodriguez meledak pada minit ke-58 yang sebelum ini turut menjaringkan gol pada pertemuan dengan Chelsea pada saingan Liga Perdana, sembilan hari lalu. 

Kelly pula memastikan kemenangan selesa Liverpool menerusi jaringannya pada minit ke-63 selepas Andy Carroll gagal menyempurnakan penalti pada separuh masa pertama. 

Kedua-dua gol hasil usaha Craig Bellamy yang kembali beraksi dalam barisan utama Liverpool selepas tidak diturunkan pada pertemuan dengan Manchester City, Ahad lalu. - AFP sumber  berita harian online

MALAYSIA TERSUNGKUR DI TANGAN ARGENTINA


HOKI CABARAN JUARA-JUARA 1


MALAYSIA 2  ARGENTINA 5



Skuad hoki negara terus mempamer aksi hambar apabila gagal mendapatkan kemenangan ketika menentang Argentina dalam Cabaran Juara-Juara 1 di Johannesburg, Afrika Selatan semalam yang berkesudahan Malaysia tewas 2-5.

Kini Argentina berada di tangga teratas Kumpulan B dengan tujuh mata kedua Jepun dengan lima mata diikuti Kanada dengan tiga mata di atas skuad kebangsaan yang hanya memperoleh satu mata.

Gagal mendapatkan kemenangan bererti laluan sukar menanti skuad bimbingan Tai Beng Hai yang bakal menentang juara Kumpulan A antara Belanda atau India. - Utusan.

KELANTAN FA TEWAS MENGEJUT KEPADA NEGERI SEMBILAN





FULL TIME | Persahabatan Pra-Musim 2012 

N.Sembilan FA [3]-[1] KELANTAN FA

# James Emmanuel Emana 56'
# Idris Karim 63'
                                # Danny Antwi 75'
# S.Kunalan 78'


Rumusan penuh

Babak awal, kedua-dua pasukan gagal melakukan percubaan sehinggalah Chanturu mendapat satu peluang pada minit ke-8 tetapi tersasar hasil hantaran Albert Banning. Negeri Sembilan memperoleh peluang pertama melalui Shakir Ali pada minit ke-17, diselamatkan Shazwan. Minit ke-25, Badri freekick terus kepada Farizal. Negeri Sembilan dapat beberapa sepakan percuma didepan pintu gol Kelantan namun Shazwan dapat menyelamatkan keadaan. Minit ke-34, Albert Banning menjaringkan gol tetapi dibatalkan kerana berkedudukan offside.. minit ke-38, import percubaan Negeri Sembilan, Ferreira melakukan sepakan percuma rendah kearah pintu gol Kelantan tetapi Shazwan menafikan dengan aksi menyelamat "super save". Tidak lama kemudian, Albert Banning menerima satu hantaran dari Azwan ROya tetapi percubaan jarak dekat tepat kepada Farizal Marlias. Secara keseluruhan, Kelantan banyak melakukan percubaan tetapi gagal menjaringkan gol. Tuan rumah turut berkesempatan namun gerakan mereka banyak tersekat oleh pertahanan.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan selepas James Emmanuel Emana mudah menolak masuk kedalam gawang hasil gerakan dari tengah pada minit ke-49. Kelantan hampir menyamakan kedudukan tetapi percubaan daripada Azwan Roya melepasi palang. Tanpa disangka, Negeri Sembilan menambah jaringan pada minit ke-63 selepas Shazwan Yusoff gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya memberikan Idris Karim peluang terbuka didepan gawang. The Red Warriors berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-76 selepas Denny Antwi memanfaatkan kesilapan back pass Norhafiz untuk menewaskan Farizal Marlias. Beberapa minit kemudian, S. Kunalan memberi pengajaran berguna buat Shazwan apabila lambungan mudah sebenarnya gagal ditangkap kemas penjaga gol Kelantan memberikan Negeri Sembilan gol ketiga pada minit ke-80. 



SUMBER -RedsfcNews.

T-TEAM IKAT PEMAIN IMPORT DARI ZAMBIA


 (Bernama) - Bekas pemain import Perlis yang  berasal dari Zambia, Zacharia Simikounda akan menyertai pasukan T-Team bagi  menghadapi Liga Malaysia tahun depan.
Jurulatih Yunus Alif berkata pemain penyerang berumur 28 tahun itu mewakili Perlis pada tahun 2007.
"Zacharia telah melepasi ujian dan dia memenuhi kriteria yang kita tetapkan. Seorang lagi pemain import akan diuji minggu depan,"  katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata Zacharia mewakili kelab Red Arrows, Zambia pada 2011 selepas  bermain dengan kelab Al-Faizaly dalam liga Jordan pada 2009 hingga 2010.
Yunus berkata beliau yakin Zacharia mampu menjulang nama T-Team memandangkan pengalamannya bermain dalam Liga Malaysia sebelum ini.
Sementara itu, T-Team akan mengambil sembilan pemain baru bagi menggantikan pemainnya yang berhijrah ke pasukan lain musim 2012 seperti Indra Putera Mahayuddin, Mohd Nor Farhan Mohamad dan Azizi Matt Rose yang berhijrah ke Kelantan.
Sembilan pemain baru itu ialah masing-masing tiga dari Selangor, Perlis dan Terengganu.
Yunus berkata T-Team akan menggadakan perlawanan persahabatan di Selangor bulan depan bagi menguji keserasian pemain.

Monday, November 28, 2011

KEDAH SINGKIR DUA PEMAIN IMPORT


Impian peminat pasukan bola sepak Kedah untuk melihat kelibat dua pemain import yang pernah menyarung jersi hijau kuning, Marlon Alex James dan Nelson San Martin tidak kesampaian apabila mereka disahkan tidak akan menyertai pasukan itu tahun depan.

Jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan berkata, kedua-duanya tidak dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) disebabkan faktor umur dan kecederaan yang dialami berkemungkinan menyebabkan mereka tidak boleh bermain sepenuhnya pada semua perlawanan.

"Umur mereka dah lebih 30 tahun, dengan kecederaan yang dialami sehingga mengambil masa satu hingga dua bulan untuk pulih nyata merugikan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA),” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, jika pihak pengurusan mengambil dua pemain itu ia hanya akan membazirkan duit rakyat dan peminat kerana mungkin mereka tidak boleh beraksi bersama pasukan Kenari dalam semua perlawanan musim depan.

"Saya harap peminat lupakan Marlon dan Nelson kerana saya mahu pemain import yang akan bermain untuk kesemua 56 perlawanan tahun depan melibatkan piala AFC, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia,” katanya. — Bernama

JOM KENALI JENIS-JENIS MADU DI DUNIA


Jenis-Jenis Madu

Madu Tualang
Madu Tualang merupakan madu lebah yang diambil dari pokok tualang hutan. Pokok tualang selalunya tumbuh tinggi di dalam hutan tebal dan

Madu Tualang dipercayai terhasil oleh lebah madu di dalam hutan yang mengambil nektar dari pelbagai bunga-bunga hutan (poliflora). Itulah sebabnya ramai yang mempercayai madu ini mempunyai nilai khasiat yang tinggi berbanding madu biasa yang lain.

Tambahan pula, sarang lebah madu tualang sukar dijumpai kerana pengutip madu lebah perlu meneroka jauh ke dalam hutan. Sesudah dijumpai, sarang lebah selalunya hinggap di dahan pokok tualang yang tinggi. Kesukaran menuai madu tualang menjadikan madu ini mendapat permintaan ramai dan boleh mencecah harga yang tinggi di pasaran.

Madu Sidr @ Madu Yaman (Yemen)
Madu Sidr merupakan madu daripada Negara Yemen yang termahal di dunia. Khasiat madu sidr dikatakan yang paling tinggi nilainya dan juga mempunyai nilai perubatan yang tinggi.

Madu sidr dihasilkan di Pergunungan Hadramaut, Semenanjung Arab yang masih bebas daripada pencemaran. Lebah madu sidr mengambil nektar dari pokok sidr sahaja (monoflora). Pokok sidr di Yemen dipercayai adalah pokok yang tertua di dunia. Hampir semua bahagian pokok ini digunakan oleh masyarakat tempatan untuk tujuan kesihatan kerana mempunyai khasiat yang tinggi.
Oleh itu, madu sidr yang berasal daripada pokok sidr juga mempunyai nilai khasiat dan perubatan yang lebih tinggi berbanding jenis-jenis madu lain. Madu sidr amat mujarab untuk menyembuhkan penyakit hati, penghadaman dan pernafasan, menaikkan prestasi batin dan sebagai anti-oksida dan anti-bakteria yang berkesan.

Madu Ratu (Royal Jelly)
Madu Ratu (Royal Jelly), juga dikenali Susu Lebah (atau kadang-kala dipanggil Madu Putih oleh penjual jalanan) kerana warnanya yang putih kekuningan menyerupai warna susu. Madu jenis ini adalah antara yang paling sukar didapati dan biasanya hanya diperolehi dalam kuantiti yang sedikit (sehingga beberapa ratus gram sahaja).

Madu ratu adalah madu yang dimakan oleh ratu sarang lebah. Ratu sarang lebah mempunyai saiz yang lebih besar, hayat yang lebih panjang dan juga satu-satunya lebah yang boleh reproduksi. Atas sebab-sebah inilah ramai yang mempercayai bahawa madu ratu boleh mendatangkan kesan yang sama ke atas manusia.

Walau bagaimanapun, madu ratu sangat sensitif kepada suhu dan tidak tahan lama. Oleh itu, penghasilan madu ini untuk kegunaan manusia perlu dilakukan secara segar dan biasanya disejukkan.

Madu Propolis
Madu Propolis bukanlah madu sebenar dari bunga, tetapi terhasil daripada pengambilan nektar pokok. Nektar ini dihasilkan oleh pokok untuk melindungi kulit pokok dan juga digunakan oleh lebah untuk melindungi sarang mereka. Jadi, tidak hairanlah propolis bermaksud 'pelindung bandar' dalam bahasa Greek.

Madu propolis kaya dengan antibiotik flavonoid dan pengambilannya boleh meningkatan daya tahan penyakit.

Terdapat 2 jenis madu propolis - hijau dan perang. Madu propolis hijau lazimnya didapati di Brazil.

Madu Manuka
Madu Manuka merupakan madu yang dimpot daripada New Zealand. Madu Manuka terhasil oleh madu lebah yang hidup berhampiran pokok manuka (Leptospermum scoparium), di kawasan luar bandar New Zealand yang mempunyai udara yang bersih.

Oleh itu, madu lebah manuka mengambil nektar dari satu jenis bunga sahaja (monoflora). Madu ini ada yang dihasilkan secara liar dan ada yang dihasilkan oleh lebah ternak.

Madu ini popular di pasaran antarabangsa kerana kandungan bahan anti-bakteria yang tinggi. Bahan anti-bakteria ini dipanggil Unique Manuka Factor (UMF) dan produk madu manuka diukur mengikut kadar kandungan bahan tersebut. UMF 10 hingga 16 adalah kadar yang disarankan bagi madu manuka yang berkesan untuk kegunaan merawat penyakit. Sila rujuk laman Unique Manuka Factor® Honey Association untuk maklumat lanjut.

Madu Kelulut
Madu Kelulut dihasilkan oleh lebah kelulut - sejenis lebah yang bersaiz kecil (sebesar saiz lalat). Sarang lebah kelulut selalunya dijumpai di akar-akar atau tunggul pokok berhampiran permukaan tanah (tidak seperti sarang lebah biasa di atas pokok).

Madu kelulut warnanya lebih jernih berbanding madu hutan biasa dan rasanya manis bercampur sedikit masam. Kuantiti yang diperoleh daripada penuaian setiap sarang juga lebih kecil berbanding sarang lebah biasa - biasanya kurang daripada sebotol. Kebanyakan madu kelulut merupakan hasil hutan terutamanya dari Malaysia dan Indonesia.

Khasiat madu kelulut termasuklah meningkatkan metabolisme badan, menambahkan tenaga batin, menjaga kecantikan, menguatkan wanita yang baru bersalin dan merawati pelbagai penyakit dan kecederaan dalaman.

MANCHESTER CITY SERI DENGAN LIVERPOOL


Manchester City gagal untuk menang dalam saingan Liga Perdana Inggeris hanya untuk kali kedua dalam 13 perlawanan musim ini apabila seri 1-1 di Liverpool dan berakhir dengan 10 orang apabila pemain gantian Mario Balotelli dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.

Vincent Kompany meletakkan City di depan dengan tandukan pada minit ke-31 tetapi Liverpool menyamakan kedudukan dua minit kemudian apabila Joleon Lescott terbias rembatan Charlie Adam ke gawang sendiri.
Balotelli dibawa masuk pada minit ke-65 tetapi dibuang padang 18 minit kemudian dan penjaga gol England, Joe Hart, menyelamatkan beberapa percubaan pada lewat permainan untuk mengekalkan rekod tanpa kalah City.
City yang mengumpul 35 mata, kekal lima mata di depan Manchester United dengan Tottenham Hotspur di tempat ketiga dengan 28 mata. Liverpool naik ke tangga keenam dengan 23 mata.

Terdahulu, Swansea City seri 0-0 dengan Aston Villa dalam perlawanan hambar di Stadium Liberty yang dibayangi berita kematian pengurus pasukan Wales, Gary Speed. 
BERITA HARIAN

KELANTAN UJI PEMAIN CAMEROON



Selepas berjaya memburu tiga pemain import, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedang menguji seorang pemain import dari Cameroon bagi memperkuatkan pasukan dalam menghadapi beberapa pertandingan bola sepak musim depan, termasuk Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang disertai oleh skuad ”Kijang” buat pertama kali.
Setakat ini, Kafa berjaya mengikat tiga pemain import iaitu Muhammed Ghaddar Mahmoud dari Lebanon selaku penyerang dan dua pemain dari Ghana iaitu Emannuel Okine (tengah) serta Denny Antwi (penyerang untuk Piala AFC).
Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, Albert Baning yang merupakan bekas pemain skuad Olimpik 2008 Cameroon baru tiba di negara ini sejak beberapa hari lepas dan akan menjalani ujian di bawah jurulatih Peter Butler.
"Sekiranya beliau menepati kriteria, kita akan ikat kontrak dengan pemain itu kerana AFC membenarkan empat pemain import. Kami akan pilih dua pemain import yang terbaik untuk bermain dalam Liga Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini.

Mengulas persediaan skuad ”The Red Warriors” untuk saingan bola sepak musim depan, Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata pihaknya sudah mengatur beberapa perlawanan persahabatan tempatan dan juga antarabangsa.

Beliau berkata, antaranya ialah pertemuan dengan Negeri Sembilan esok dan Perak pada 1 Disember di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 15 dan 16 Disember dan menentang kelab dari Qatar dan Syria serta pertemuan dengan Terengganu pada 31 Dis ini di Kota Bharu.Perlawanan Persahabatan Terdahulu Kelantan menang ketiga-tiga iaitu menewaskan ATM, BALESTIER KHALSA FC dan SKUAD KEBANGSAAN MALDIVES. 

"Semua perancangan kita untuk musim depan berjalan dengan baik dan pemain kini menjalani latihan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan ekoran hujan lebat yang melanda Kelantan,” katanya.
Ditanya mengenai sasaran untuk musim ini, Annuar berharap agar pemain-pemain dapat merangkul seberapa banyak piala yang boleh.

"Kita menyasarkan untuk mempertahankan Piala Liga Super yang dimenangi pada musim ini selain merangkul Piala Malaysia dan Piala FA.

"Berdasarkan persiapan rapi yang dijalankan oleh pasukan, kita yakin mampu menang,” katanya sambil berkata semua pegawai dan pemain diberikan Petunjuk Prestasi Indeks (KPI) bagi memastikan prestasi mereka tidak merudum. - Bernama
— BERNAMA MCYS AKT AZH

KELALAIAN PEMAIN HARIMAU MUDA DIHUKUM BAHRAIN



Harapan beraksi pada Sukan Olimpik 2012 mungkin sudah terkubur buat skuad bawah 22 tahun negara selepas tumbang 2-3 kepada Bahrain walaupun kemenangan bagaikan semakin berada dalam genggaman Malaysia apabila mendahului 2-0 ketika permainan hanya tinggal 12 minit untuk ditamatkan.

Entah apa yang tidak kena, skuad negara gagal menahan asakan bertali arus Bahrain yang berjaya mendapatkan tiga gol dalam tempoh lima minit melalui pemain gantian Bahrain, Saad Sazah Azamer pada minit ke-79 dan dua jaringan lagi oleh Isa Ahmed Nayem, minit ke-83 dan 84.

Ketiga-tiga gol itu telah meruntun semangat 30,000 penyokong negara yang tidak percaya melihat skuad bimbingan Ong Kim Swee itu membenarkan lawan memperoleh ketiga-tiga gol biarpun kekurangan seorang pemain, Fahad Tareq Showaiter yang dilayangkan kad merah pada minit ke-60.

Barisan pertahanan negara jelas bermain terlalu buruk pada detik 15 minit perlawanan untuk ditamatkan dengan banyak memberikan ruang kepada Bahrain di samping tindakan bijak jurulatih Bahrain, Salman Shareeda memasukkan dua pemain gantian, Saad Sazah dan Isa Ahmed yang banyak membuatkan pertahanan Malaysia hilang arah di samping faktor kepenatan memainkan peranan kebangkitan Bahrain.

Dengan kekalahan itu, skuad negara kini mungkin boleh melupakan aksi di Sukan Olimpik 2012 London selepas tewas buat kali ketiga berturut-turut dan menduduki tangga tercorot Kumpulan C tanpa sebarang mata manakala Bahrain memastikan peluang mereka masih terbuka dengan memperoleh tiga mata berharga di sini.

Dalam satu lagi perlawanan, Jepun yang kini semakin unggul di tangga teratas kumpulan dengan sembilan mata apabila menundukkan Syria dengan keputusan 2-1 di Stadium Antarabangsa Tokyo manakala Syria kekal dengan enam mata.

Malaysia sebelum itu bermain dengan penuh bergaya terutama pada separuh masa pertama apabila mendahului melalui Mohd. Nazmi Faiz Mansor pada minit ke- 30 hasil sepakan jarak jauh yang menakjubkan.

Mahalli Jasuli memastikan Malaysia semakin tepat berada di landasan kemenangan pada mulanya apabila memanfaatkan kesilapan penjaga gol Bahrain, Ashraf Waheed Azsebaie yang gagal menangkap kemas percubaan awal pemain bek kanan itu sebelum merembat cantik untuk gol kedua pada minit ke-67.

Namun, ketika kem Malaysia menjangkakan kemenangan sudah berpihak kepada mereka, Bahrain bangkit tanpa disangka pada 10 minit terakhir perlawanan bermula dengan jaringan tidak diduga Saad Sazah menerusi sepakan gunting sehinggakan Khairul Fahmi Che Mat tergamam tidak berbuat sebarang tindakan menyelamat percubaan berkenaan.

Isa Ahmed yang juga menjadi pemain terbaik perlawanan pada malam tersebut memastikan Malaysia berputih mata dengan dua gol, satu menerusi percubaan mudah dalam kotak penalti pada minit ke-83 sebelum dua minit kemudian, dia menjadi wira pasukan apabila percubaan melalui sepakan percuma memastikan Bahrain pulang selaku pemenang.

Aksi seterusnya Malaysia selepas ini ialah berhadapan Bahrain sekali lagi di tempat lawan pada 5 Februari 2012.
utusan malaysia

Thursday, November 24, 2011

MANGSA BANJIR DI KELANTAN SEMAKIN MENINGKAT


Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,892 orang pagi ini, berbanding 1,420 malam tadi ekoran hujan berterusan yang mengakibatkan kawasan rendah terus dinaiki air.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, Pasir Mas kekal menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 16 buah pusat pemindahan dibuka di daerah itu setakat ini.

"Jumlah pusat pemindahan yang dibuka (di seluruh negeri) semakin bertambah daripada 28 buah malam tadi kepada 32 buah pagi ini,” katanya.

Beliau berkata, paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, berada pada paras bahaya manakala laluan di Machang, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat masih ditutup kepada lalu lintas.

Di Machang, laluan yang ditutup ialah Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata; di Pasir Mas membabitkan Jalan Pohon Tanjung-Meranti, Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram dan Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu; manakala di Tanah Merah jalan yang ditutup ialah Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh.

Di Tumpat pula, tiga laluan yang ditutup ialah di Km 3 Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti, Km 2 Jalan Keselamatan (Kesban)-Pengkalan Kubor - Kampung Jambu dan Km 3 Jalan Pohon Tanjung-Pasir Pekan.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan berkurangan kepada 1,236 pagi ini berbanding 2,404 orang petang semalam.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Terengganu berkata enam daerah yang masih dilanda banjir ialah Besut, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang, dan Setiu.

Di PAHANG, 11 orang dari dua keluarga di Kampung Chendor Baru dekat Cherating yang dipindahkan akibat banjir sejak semalam, masih ditempatkan di pusat pemindahan.

Mereka yang terdiri daripada enam lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak perempuan ditempatkan di Balai Raya Kampung Chendor.

Menurut jurucakap bilik gerakan polis rumah mereka masih ditenggelami air pada paras 0.5 meter. - Bernama(UTUSAN MALAYSIA)

Pulau lahir dari dasar laut





KEBIRUAN air di permukaan laut berhampiran Pulau El Hierro iaitu salah sebuah pulau di Kepulauan Canary tiba-tiba 'dihiasi' dengan kewujudan gelembung buih-buih yang muncul dari dasar laut awal bulan ini. Turut kelihatan gumpalan magma berwarna kehitaman melatari permukaan laut.
Semua itu berpunca daripada aktiviti gunung berapi dasar laut di kawasan tersebut yang dilaporkan semakin aktif selepas satu gempa bumi berukuran 4.3 pada Skala Ricther melanda pulau tersebut pada 5 November lalu.
Gempa bumi berkenaan menyebabkan gunung berapi dasar laut di luar Pulau El Hierro itu memuntahkan material berupa gas dan asap hitam setinggi 18 meter ke udara yang dipenuhi bau sulfur selain menyebabkan ia kelihatan terapung di permukaan laut.
Kepulauan Canary yang terdiri daripada tujuh buah pulau serta beberapa buah pulau kecil walaupun berlokasi sekitar 100 kilometer dari pesisir pantai Maghribi di utara Afrika bagaimanapun sebenarnya merupakan wilayah di bawah autonomi Sepanyol.
Selain Pulau El Heirro, enam pulau lain di Kepulauan Canary ialah Tenerife, Gran Canaria, Fuerteventura, Lanzarote, La Palma dan La Gomera. Pada pertengahan Oktober lalu, pihak berkuasa Sepanyol telah mengeluarkan arahan untuk menutup akses ke bandar pelabuhan La Restinga di selatan Pulau El Heirro rentetan aktiviti gunung berapi dasar laut itu.
Ini termasuklah meminta kapal-kapal yang berada di sekitar pelabuhan beredar meninggalkan kawasan perairan tersebut dan pesawat udara turut dilarang melakukan penerbangan di lokasi berkenaan.
Selama lebih sebulan, penduduk di kepulauan tersebut terpaksa hidup dengan gunung berapi dasar laut aktif yang bukan sahaja memberi ancaman keselamatan, bahkan turut menakutkan pelancong dan membahayakan kehidupan penduduk serta habitat sekitarnya.

LAHAR gunung berapi yang meletus di Kepulauan Canary mengeras dan dijangka membentuk sebuah pulau baharu.


Magma di permukaan laut
Para saintis tempatan memberitahu, aktiviti di gunung berapi dasar laut itu telah bermula sejak 17 Julai lalu dengan lebih 10,000 gegaran direkodkan.
"Letusan gunung berapi itu berlaku selama seminggu dan ia menyebabkan kerajaan bertindak memindahkan kira-kira 600 penduduk ke kawasan selamat," kata wakil perlindungan sains sivil, Carmen Lopez bulan lalu.
Berdasarkan kronologi, dasar laut Pulau El Hierro mula menggegar sejak 19 Julai lalu dengan memberi petanda melalui kemunculan gumpalan magma yang kelihatan di permukaan laut pulau terkecil di Kepulauan Canary itu.
"Letusan itu juga menyebabkan gumpalan besar magma berwarna kehijauan terbentuk di permukaan laut," kata seorang penduduk.
Sementara itu, pakar gunung berapi, Juan Carlos Carrecedo berkata, terdapat gumpalan magma di permukaan laut yang menghasilkan siri pecahan sekali gus menjana aktiviti seismik.
"Kita tidak tahu jika gumpalan magma tersebut akan memecahkan kerak dan mencetuskan letusan lebih besar. Letusan kemungkinan akan berlaku dalam tempoh sehari, seminggu mahupun sebulan," jelasnya memberi amaran yang letusan itu dijangka akan berterusan.
Beberapa letusan besar juga menyebabkan ia dapat dilihat dari jarak paling hampir iaitu 1.5 kilometer dari pesisir pantai di selatan El Hierro.
"Senario terburuk yang kami bimbang jika berlaku adalah letusan di daratan," ujar Ketua Keselamatan Kepulauan Canary, Juan Manuel Santana kepada akhbar harian El Pais.

KEPULAUAN Canary terkenal sebagai pulau pelancongan yang indah.


Sebuah pulau baharu
Apa yang pasti, pakar geologi turut berpendapat bahawa terdapat kebarangkalian letusan dari dasar laut itu mampu 'melahirkan' sebuah pulau baharu di Kepulauan Canary.
Khabar itu juga menyebabkan beberapa nama untuk 'bayi' Kepulauan Canary itu telah dicadangkan menerusi Internet, antaranya seperti Atlantis, Discovery atau The Beast.
Menguatkan lagi kemungkinan daratan baharu akan muncul menerusi pembentukan magma yang meletus itu apabila Institut Geografi Kebangsaan Sepanyol (IGN) menyatakan letusan tersebut hanya terletak kira-kira 69 meter atau 225 kaki dari permukaan laut.
Apa yang pasti, kemungkinan mengenai munculnya pulau baru itu menyebabkan keghairahan dalam kalangan orang ramai. Walaupun kerajaan telah mengarahkan supaya penduduk berpindah ke tempat yang selamat, keterujaan untuk melihat muncul daratan baharu hasil daripada letusan dan magma yang dimuntahkan menyebabkan ramai warga El Heirro berada di kawasan tinggi berdekatan pantai.
Salah sebuah akhbar tempatan, La Provoncia melaporkan, 'Raksasa akan muncul dari lautan' merujuk kepada daratan yang dikatakan bakal muncul. Bahkan, beberapa akhbar pula berdebat mengenai siapakah yang akan bertanggungjawab ke atas wilayah baharu itu.

ORANG ramai memerhatikan dari Pulau El Hierro letusan demi letusan di pemukaan laut.


Bagaimanapun, menurut IGN, nama serta pentadbiran baharu kemungkinan tidak diperlukan memandangkan sekiranya kekuatan letusan itu memunculkan daratan di permukaan laut, ia tidak mustahil akan bergabung dengan pesisir pantai Pulau El Hierro memandangkan jaraknya yang tidak jauh sekitar tiga kilometer sahaja.
Menariknya, menyorot kembali tentang asal usul Kepulauan Canary itu sebenarnya hampir kesemua pulau di situ ialah pulau volkanik atau pulau gunung berapi. Pulau tersebut dikatakan muncul sejak jutaan tahun dahulu menerusi letusan gunung berapi selain sewaktu peristiwa zaman Jurassic semasa pembukaan kerak lautan Atlantik.
Bergantung kepada kekuatan

PESONA pantai di Kepulauan Canary menggamit ribuan pelancong setiap tahun.


Sementara itu, pakar geologi, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan pula tidak menolak kemungkinan letusan gunung berapi dasar laut di Pulau Hierro boleh menyebabkan sebuah pulau baharu boleh terbentuk.
"Namun semuanya bergantung kepada kekuatan letusan gunung berapi dan jarak kawasan letusan sama ada berlaku hampir atau jauh dengan permukaan laut.
"Malah amaun letusan yang dikeluarkan pada permukaan baru juga diambil kira. Jika letusannya banyak jadi ia berupaya membentuk sebuah pulau baharu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
SUMBER KOSMO