Pages
▼
Sunday, November 13, 2011
MALAYSIA BELASAH KEMBOJA, SELANGKAH LAGI UNTUK KE SEMI FINAL
Malaysia menepati ramalan untuk meraih tiga mata penting ke atas Kemboja 4-1 dalam aksi ketiga Sukan SEA namun kelekaan di bahagian pertahanan lebih menjadi tumpuan utama.
Ong Kim Swee merombak bahagian serangnya dengan mempertaruhkan Izzaq Faris Ramlan untuk merobek gawang lawan sambil Yong Kuong Yong mengisi bahagian sayap kanan sambil bahagian tengah dan pertahanan dalam perlawanan sebelumnya dikekalkan.
Malaysia menutup tempoh awal 45 minit dengan kedudukan selesa 3-0.
Malaysia begitu bersemangat dengan melancarkan serangan sejak wisel ditiupkan yang menyaksikan Khairul Fahmi Che Mat langsung tidak teruji di awal 20 minit pertama.
Izzaq Faris membuka tirai jaringan pada minit ke-8 menerusi tandukan selepas membaca dengan baik hantaran tinggi Yong Kuong Yong.
Bagaimanapun pasukan negara gagal mempertahankan rentak garang mereka dan secara tidak langsung memberi laluan Kemboja untuk mengaturkan gerakan.
Kad kuning pertama dilayangkan kepada tonggak paling muda negara, Nazmi Faiz Mansor akibat terjahan keras terhadap pemain lawan.
Pada minit ke-30, Irfan Fazail terlepas peluang terhidang tetapi penjaga gol Kemboja lebih tangkas untuk menafikan tolakannya. Lima minit selepas itu, rembatan padu jarak jauh Baddrol Bakhtiar gagal dibaca penjaga gol lawan, Sou Yaty untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Baddrol kemudian tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas Izzaq ditarik ketika perebutan bola di udara.
Kim Swee menukar percaturannya dengan mengeluarkan Mahali Jasuli dan digantikan dengan Fandi Othman di bahagian bek kanan sebaik separuh masa pertama bermula.
Ketika leka menambah koleksi gol, Chhin Chhoeun menghukum benteng negara pada minit ke-60 dengan menyambut baik hantaran tinggi sebelum menewaskan Khairul Fahmi.
Tamil Arasu yang masuk menggantikan Izzaq Faris bagaimanapun gagal memainkan peranannya dengan baik apabila terlepas peluang terbuka dengan hanya menyepak tepat ke arah Sou Yaty.
Corak permainan Malaysia terus hambar di mana dua situasi berbahaya yang menyaksikan pemain Kemboja bebas berlegar-lear dalam kotak penalti mengundang kemarahan Khairul Fahmi.
Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, Wan Zaharul Nizam menutup perlawanan dengan jaringan menarik dari sudut sukar.
No comments:
Post a Comment